Saturday 22 October 2011

Pendidikan Islam Pemangkin Akhlak Mulia

Pendidikan adalah lambang masyarakat yang bertamadun. Beberapa tamadun dunia yang muncul dan hilang meletakkan pendidikan di tempat teratas bersama industri perdagangan, ketenteraan dan pengangkutan. Institusi pendidikan memainkan peranan yang sangat penting sebagai agenda pembangunan negara.
Di Malaysia, sistem pendidikan yang dilalui oleh setiap pelajar merangkumi sekolah rendah dan menengah yang mengambil masa selama 11 tahun. Pelajar-pelajar ini diberi pelbagai pendedahan untuk melengkapkan diri dengan keperluan dunia dan akhirat. Bagi pelajar muslim, mereka diberi pendidikan Islam bagi melengkapkan diri dengan kemahiran membaca al-quran dan ilmu feqah bagi memantapkan iman dan amal.
Rasulullah saw meninggalkan al-quran dan sunnah sebagai panduan kepada umat Islam yang menjadikan mereka sentiasa berada di jalan yang lurus dan tidak akan sesat selama-lamanya."Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu al-quran dan sunnahku." (Riwayat Abu Daud)
Ramai bijak pandai dan tokoh Islam menjadikan al-quran dan sunnah sebagai panduan kepada pendidikan Islam. Imam Al Ghazali menyatakan tujuan pendidikan Islam seharusnya kembali kepada Allah swt. "Bertaqarrub kepada Allah, bukan untuk mendapatkan jabatan kepimpinan, bermegah-megah dan berlumba-lumba."
Para sarjana dan cendekiawan Islam mempunyai pemikiran dan pendapat yang sama mengenai pendidikan Islam dengan meletakkan al-quran dan sunnah sebagai tempat teratas dan  merumuskan yang pendidikan Islam harus berperanan untuk membentuk peribadi yang memenuhi ciri-ciri insan kamil iaitu:
·         Mempunyai keimanan yang teguh.
·         Patuh dan tekun menjalankan perintah-perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
·         Mempunyai akhlak yang luhur.
·         Mempunyai sikap sosial yang baik.
·         Memiliki ilmu pengetahuan dan kematangan intelektual yang tinggi.
·         Mampu berdikari dalam segala aspek khususnya di dalam mencari rezeki untuk kehidupannya sendiri dan orang yang menjadi tanggungjawabnya.
·         Bersedia memikul tanggungjawab agama dalam segala aspek: peribadi, masyarakat, negara dan seluruh umat manusia.
Tujuan pendidikan umum ialah untuk membangun pemikiran termasuk minda dan personaliti secara menyeluruh, ia tidak memberikan kemahiran khusus tetapi membina personaliti yang menyeluruh . Oleh itu, pendidikan Islam harus mengambil kira kepentingan dunia dan akhirat supaya kekuatan individu dan masyarakat yang dibina dapat memberi makna kepada pembentukan negara yang dihormati.

0 comments:

Post a Comment